Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

AKPK Perkenal Kempen “Prihatin Kita Pilihan Bijak”

By 13 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)

SEREMBAN, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah penduduk kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini.

Dalam satu temu bual dalam talian Influencer@Japen Negeri Sembilan, Moderator program Yusof Othman, berkata berdasarkan laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati individu hilang pekerjaan di negara ini meningkat 42 peratus bagi suku pertama tahun ini.

“Ramai yang hilang sumber pendapatan dan kini masih lagi mencari pekerjaan yang menawarkan peluang yang sangat terhad,” ujarnya.

Menurut Timbalan Pengurus Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Noorhaliza Abu Bakar, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa wujudnya satu agensi yang membantu masyarakat yang terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar.

“AKPK telah mengambil insiatif dengan mewujudkan kempen Prihatin Kita Pilihan Bijak (PKPB) bagi mendidik orang ramai untuk menjadi seorang yang bijak serta tidak terburu-buru dalam membuat keputusan apabila menghadapi masalah kewangan.

“Prihatin yang dimaksudkan dalam konsep ini ialah sokongan moral yang diberikan oleh ahli keluarga kepada seseorang yang menghadapi tekanan kewangan kerana kesihatan mental yang baik dapat membantu seseorang untuk berfikir dengan baik dan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut, di sini baru-baru ini.

Menurut Noorhaliza, bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK.

-AK

Tinggalkan komen anda