Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

996 Pulih, 919 Kes Baharu, Satu Kematian Dilapor

By 13 November 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Sejumlah 996 pesakit sembuh daripada wabak COVID-19 iaitu lebih tinggi berbanding 919 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 32,069 kes, manakala bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan mencatat 11,419 kes.

Menurut beliau, daripada 919 kes baharu ini, 916 merupakan kes penularan dalam negara, sementara bakinya kes import.

Bagi penularan tempatan, Sabah terus mencatat kes baharu tertinggi dengan 318 kes, diikuti Negeri Sembilan (240), Selangor (174), Pulau Pinang (63) dan Kuala Lumpur (47).

“Lain-lain negeri pula melibatkan Labuan sebanyak 35 kes, Perak (sembilan) Sarawak, Johor dan Melaka masing-masing lapan, Kedah (tiga), Kelantan (dua) dan Putrajaya (satu),” katanya pada sidang media harian COVID-19 semalam.

Mengenai tiga kes import, Dr Noor Hisham berkata kes tersebut melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara, yang tiba dari Indonesia, Nigeria dan Arab Saudi.

Menurut beliau terdapat satu kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 303 kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki bukan warganegara berumur 66 tahun, yang mendapat rawatan di Hospital Tawau, Sabah.

Katanya, sehingga kini, terdapat 92 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda