Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 1,041 Kes Baharu, Tiga Kematian

By 22 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatatkan 1,041 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 53,679 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya ia menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 12,854 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,405 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 40,493.

Beliau berkata daripada 1,041 kes baharu hari ini, sebanyak 1,039 kes adalah penularan dalam negara manakala bakinya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi hari ini adalah Selangor dengan 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus).

“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Bagi Sabah pula, jumlah kes tinggi hari ini disebabkan pelbagai saringan COVID-19 yang giat dijalankan di negeri itu, manakala di Negeri Sembilan adalah kerana pertambahan kes dalam kluster sedia ada.

Menurut kenyataan itu, 21 kes (2.0 peratus) pada hari ini berkaitan kluster penjara melibatkan Kluster Penjara Jalan Harapan (17 kes) (Selangor), Kluster Tembok (3 kes) (Kedah) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes) (Pulau Pinang).

Dr Noor Hisham berkata terdapat 108 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memberitahu terdapat tiga kematian berkaitan COVID-19 melibatkan dua lelaki dan seorang wanita di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kematian dalam negara adalah 332 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu di SEPANG, tiga lagi penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah tampil menyerah diri hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulang ialah 43 orang.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof menerusi satu kenyataan berkata 32 lelaki dan 11 wanita yang menyerah diri itu terdiri daripada 14 warga tempatan, 19 warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Myanmar, India dan Nepal.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuatkuasa 12 Nov sehingga 25 Nov ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda