Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

JPBD, JaPen Labuan perhebat Kempen Pembudayaan Norma Baharu

By 20 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan menerusi Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Labuan memperhebatkan lagi Kempen Pembudayaan Norma Baharu dalam kalangan komuniti di sini.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, merangkap Pengerusi JPBD Rithuan Mohd Ismail, kempen tersebut perlu dihebahkan untuk mendidik masyarakat mengamalkan norma baharu di dalam kehidupan seharian.

“Kalau kita tidak membudayakan norma baharu agak sukar kita memenangi pertarungan ini, jadi kita perlu kerjasama semua komuniti di Labuan dan agensi lain termasuk pihak swasta untuk menjayakan kempen ini.

“Kita berterima kasih atas inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan di Labuan Jabatan Penerangan dengan kerjasama JPBD akan terus berganding-bahu menjayakan kempen ini agar dapat dihayati ahli komuniti di semua peringkat,” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan simbolik Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti yang dilaksanakan Jabatan Penerangan W.P Labuan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan, semalam.

Beliau turut menyempurnakan penyerahan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Persatuan Penggiat Media Labuan yang diwakili pengerusinya, Jainuddin Djimin.

Supian (tengah) turut menyampaikan buku Pembudayaan Norma Baharu yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia kepada Jainuddin.

Supian (tengah) turut menyampaikan buku Pembudayaan Norma Baharu yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia kepada Jainuddin.

“Media juga sebagai barisan hadapan yang memerangi COVID-19 di Labuan jadi penyerahan PPE ini sebagai mengiktiraf peranan mereka dalam menghebahkan informasi terkini mengenai COVID-19 dan budaya norma baharu kepada rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan W.P Labuan, Supian Musa, berkata Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dilancarkan beberapa bulan lalu adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia terutama di Labuan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“JaPen menerusi unit bergerak Info on Wheels (IoW) akan sentiasa bergerak ke setiap pelusuk kampung dan mengedar buku yang dikeluarkan Jabatan Penerangan yang diterbitkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, buku ini mengandungi panduan-panduan SOP untuk sama-sama dipatuhi orang ramai,” ujarnya.

Presiden Persatuan Penggiat Media Labuan Jainuddin Djimin, berkata pihaknya mengucapkan penghargaan kepada JPBD kerana telah menyumbangkan PPE dan kelangkapan lain kepada pihak media tempatan.

“Bantuan-bantuan peralatan ini dapat memastikan media yang bertugas di lapangan dapat menjaga keselamatan masing-masing sekaligus kita merasa dihargai atas segala peranan memerangi wabak COVID-19 menerusi berkongsi maklumat yang berguna kepada para masyarakat,” kongsinya.

-SH

Tinggalkan komen anda