Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

PMM Rangkul Anugerah Khas KeTSA

By 20 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM

MERLIMAU, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Daripada sejumlah 110 penyertaan, hanya 30 penyertaan terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta termasuk Politeknik Merlimau (PMM) yang telah diangkat sebagai pemenang sempena National Energy Award 2020 pada kali ini yang diumumkan secara dalam talian oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Menurut Pengarah PMM Mohd Hatta Zainal, anugerah khas yang diperolehi oleh PMM ialah bagi kategori Energy Performance Contracting (EPC) yang telah menewaskan para pencabar lain.

“PMM merupakan agensi kerajaan pertama yang melaksanakan Kontrak Penjimatan Tenaga (EPC) dan telah berjaya menamatkan kontrak tersebut dalam tempoh 80 bulan yang berakhir pada September 2019.

“EPC merupakan inisiatif untuk menjimatkan penggunaan tenaga di mana semua kos peralatan, pemasangan dan penyelenggaraan peralatan jimat tenaga akan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat Perkhidmatan Tenaga (Energy Service Company –ESCO) manakala penjimatan selepas penukaran semua peralatan jimat tenaga tersebut akan dikongsi dengan nisbah 20 peratus untuk PMM dan 80 peratus untuk ESCO.

“Menerusi inisiatif ini, PMM dapat mencapai kejayaan pada tahun ini menerusi anugerah khas NEA 2020 anjuran KeTSA,” katanya ketika dihubungi.

Suzie (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM baru baru ini di GreenTech Malaysia.

Suzie (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM baru baru ini di GreenTech Malaysia.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM Suziee Sukarti, usaha telah dimulakan sejak Februari 2020 bagi memastikan PMM mengecapi kejayaan ini dengan kerjasama beberapa ahli jawatankuasa beliau.

“Kami diperkuat dengan tenaga kerja daripada para pelajar PMM yang melibatkan lebih daripada 1200 pelajar bagi pengisian program seperti Seminar Energy Efficiency, What Is My Contribution dan Energy Saving Program Talk.

“Para pelajar dan staf berganding bahu dalam memastikan EPC yang dilaksanakan di PMM terbukti mengurangkan penggunaan tenaga elektrik secara keseluruhan dan berfasa, dan ini terbukti menerusi kejayaan yang dimenangi bagi tahun ini,” katanya.

Tambah Suziee, PMM sebenarnya telah melaksanakan inisiatif ini sejak tahun 2013 lagi dan turut menerima jemputan bagi berkongsi kepakaran di beberapa buah agensi kerajaan dan swasta termasuk perkongsian di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada tahun lepas.

Untuk rekod, sejak tahun 2011 PMM telah banyak memenangi anugerah berkaitan pengurusan tenaga dan kampus lestari hijau yang mana kemuncak kepada kejayaan ini pada tahun 2014 apabila menjadi wakil tunggal Malaysia memenangi tempat pertama bagi anugerah ASEAN Energy Awards 2014 kategori Small and Medium Building bagi ASEAN Best Practices Award for Energy Management in Building and Industries.

-SH

Tinggalkan komen anda