Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kuiz ASEAN 2020 Dapat Sambutan Hangat, Rekod Penyertaan Tertinggi

By 23 November 2020Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Infografik Jabatan Penerangan Malaysia

PUTRAJAYA, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan yang berakhir pada Okt lepas telah berjaya menarik 47,091 peserta sekali gus merekodkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya sejak 2002.

Program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) yang dilaksanakan secara dalam talian bermula 1 hingga 31 Okt lepas itu melibatkan dua kategori utama iaitu kategori murid sekolah menengah kerajaan atau swasta berumur 15 hingga 17 tahun dan kategori terbuka warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JaPen Hashim Bedu berkata penyertaan melalui laman sesawang rasmi di www.penerangan.gov.my atau www.kuizasean.penerangan.gov.my itu melibatkan seramai 25,595 penyertaan daripada kategori murid sekolah menengah kerajaan atau swasta dan 21,496 penyertaan kategori terbuka warganegara.

Selangor mencatatkan kadar penyertaan tertinggi iaitu 11,615 peserta diikuti Johor 4,680 orang, Kedah (4,122), Sabah (3,910), Pulau Pinang (3,330), Pahang (2,798) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2,619).

Selain itu, beliau berkata Perak mencatatkan jumlah penyertaan seramai 2,486 orang diikuti Sarawak (2,282), Melaka (2,237), Terengganu (2,206), Negeri Sembilan (2,156), Kelantan (1,809), Wilayah Persekutuan Labuan (548) dan Perlis seramai 293 peserta.

“Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 ini telah menarik dominasi penyertaan dan minat orang Melayu seramai 30,188 peserta, Cina (8,070), Bumiputera Sabah Sarawak (4,303) dan India 3,673 orang. Sementara, seramai 83 Orang Asli menyertainya, diikuti kaum lain, seramai 774 orang,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hashim berkata program tersebut yang diadakan secara dalam talian itu adalah satu kaedah terbaik bagi membuka ruang dan peluang yang lebih pantas untuk menarik lebih ramai penyertaan.

“Hebahan dan promosi merangkumi pelbagai media massa konvensional seperti radio, televisyen dan penerbitan poster, hebahan Info On Wheels (IOW) JaPen, media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan lain-lain juga antara lain yang membolehkan program itu disertai ramai,” katanya.

Di bawah kategori murid sekolah menengah kerajaan atau swasta, pemenang pertama dimenangi Nur Azmira Arissa Azizi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abu Bakar Baginda, Selangor; tempat kedua Diana Batrisyia Mohd Kaikila dari SMK Bandar Seri Putra, Selangor dan tempat ketiga Ahmad Danish Hakim Ahmad Azmi dari SMK Clifford, Pahang.

Bagi kategori terbuka warganegara Malaysia pula, johan ialah Arizkhan Amin Kadda dari Sabah, naib johan Mohamad Najmuddin Ahmad Fauzi dari Pulau Pinang dan tempat ketiga Misha Nina Jean dari Sabah.

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 bagi johan, RM1,500 (naib johan) dan RM1,000 (tempat ketiga) berserta trofi dan sijil.

Selain itu, pemenang tempat keempat dan kelima juga membawa pulang hadiah wang tunai RM750 berserta sijil manakala sepuluh pemenang sagu hati bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM300 dan sijil.

Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran hal ehwal ASEAN malah meningkatkan minat membaca serta menggalakkan peserta mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesebuah negara anggota ASEAN berkaitan aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.

Program tersebut mampu menyemai semangat kesefahaman dan setia kawan dalam kalangan generasi muda bakal pemimpin dan peneraju masa depan ASEAN dan seterusnya meningkatkan minat membaca dan kaedah pencarian maklumat dalam kalangan peserta.

Sementara itu, Hashim berkata tiga pemenang di bawah kategori murid sekolah menengah akan mewakili Malaysia bagi pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Rantau secara dalam talian pada 16 dan 17 Dis depan, yang dianjurkan Singapura selaku tuan rumah.

“Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak USD1,500 bagi johan, USD1,200 naib johan dan USD900 bagi tempat ketiga,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda