Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Jambatan Tambah Kerancakkan Aktiviti Ekonomi Labuan

By 23 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)/UMSKAL

LABUAN, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Cadangan membina jambatan yang menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan Sabah akan memberi nilai tambah kepada kerancakkan aktiviti ekonomi di pulau bebas cukai ini.

Menurut Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau, ianya mampu memperkukuhkan sektor pelancongan tempatan dan antarabangsa menerusi kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang masuk melalui pintu antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Malah, beliau berkata ianya turut mengangkat keberadaan UMSKAL sendiri sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertaraf antarabangsa yang tunggal di wilayah ini.

“Dengan adanya jambatan ia akan menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa, selari dengan kewujudan UMSKAL sebagai IPTA bertaraf antarabangsa di Wilayah Persekutuan Labuan.’

“Sekali gus dengan kehadiran pelajar dan pensyarah dari dalam dan luar negara akan membantu merancakkan aktiviti ekonomi dan industri pelancongan tempatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan bahawa kerajaan bersetuju dengan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Feri antara nadi pengangkutan utama Labuan dan Sabah ketika ini.

Feri antara nadi pengangkutan utama Labuan dan Sabah ketika ini.

Tambahnya, dengan adanya jambatan tersebut, ianya akan memudahkan pergerakan warga UMSKAL untuk mengadakan pelbagai program termasuk lawatan, mesyuarat, seminar dan bengkel yang diadakan di Kota Kinabalu.

“Malah warga UMS di Kota Kinabalu dan Kampus Sandakan juga akan mudah berulang alik ke Labuan dengan adanya kemudahan tersebut sekaligus membantu menjana ekonomi di samping mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negeri,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Prof Madya Dr. Rizal Abdul Hamid, berkata pembinaan jambatan akan memudahkan penduduk berhampiran untuk berurusan di jabatan dan agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk mendapatkan rawatan kesihatan, pendaftaran kemasukan ke IPTA dan pelbagai urusan lain tanpa perlu ke Kota Kinabalu.

Selain itu, katanya, ia turut memberi kesan yang mendalam terhadap pembangunan fizikal dan sosio ekonomi di kawasan berhampiran termasuk Menumbok, Kuala Penyu dan Beaufort.

“Selain memudahkan pergerakan penduduk untuk mengunjungi ahli keluarga dan sanak saudara, sektor ekonomi dan pelancongan di kawasan berhampiran dengan Labuan juga akan berkembang pesat menerusi kehadiran penduduk yang berulang alik selain pelancong dari dalam dan luar negara.

“Apabila ekonomi meningkat, lebih banyak peluang pekerjaan juga akan dapat diwujudkan di Labuan dan kawasan berhampiran.

“Kehadiran penduduk dari Sabah, Sarawak dan Brunei juga akan membantu meningkatkan kuasa beli sekaligus menambah pendapatan peniaga tempatan,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda