Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Parlimen: Kerajaan Teliti Cadangan Persidangan Dewan Rakyat Secara Dalam Talian

By 5 November 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat secara dalam talian sebagai langkah mengekang penularan COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam Peraturan Mesyuarat, ia boleh dilaksanakan dengan meminda ‘Standing Order’ sahaja.

“Kita sedang meneliti perkara ini dan insya-Allah kalau perkara ini dirasakan boleh dilakukan secepat mungkin, ianya akan dilakukan. Tidak perlu bawa rang undang-undang, hanya kita pinda ‘Standing Order’ sahaja, ini dalam proses,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin mengemukakan usul menghentikan kuat kuasa beberapa Peraturan Mesyuarat berikutan perubahan yang dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 dalam usaha memastikan persidangan Dewan dapat dilaksanakan dengan selamat.

Fuziah Salleh (PH-Kuantan) yang bangun ketika usul itu dikemukakan meminta penjelasan bahawa beliau difahamkan Dewan Rakyat perlu meluluskan satu rang undang-undang sekiranya mahu membuat persidangan melalui platform digital atau secara maya.

“Saya ingin bertanya, adakah pihak kerajaan sedang berusaha untuk mengambil langkah-langkah membawa satu rang undang-undang sekiranya keadaan (pandemik COVID-19) lebih teruk. Kita minta ia tidak berlaku, tetapi orang kata kita ada pelan B, bagaimana kita nak teruskan sidang Parlimen?,” katanya.

Takiyuddin sebelum itu mengemukakan usul mencadangkan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, 9 Nov sehingga Selasa, 15 Dis berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang. Usul penangguhan itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 12(1) dan disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Takiyuddin turut mengemukakan usul menghentikan kuat kuasa beberapa Peraturan Mesyuarat antaranya Peraturan 16(6) bagi membolehkan persidangan Kamar Khas diawalkan kepada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, mulai Isnin, 9 Nov hingga Selasa, 15 Dis.

Selain itu, menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 24(3) dan Peraturan Mesyuarat 24(5) bagi membolehkan tempoh pertanyaan jawapan lisan dipendekkan dengan satu pertanyaan tambahan mulai 9 Nov hingga 15 Dis.

Usul itu mendapat reaksi beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang yang mempersoalkan mengenai tempoh masa persidangan yang terhad sehingga menyukarkan Ahli Parlimen untuk bertanyakan soalan kepada kerajaan.

Takiyuddin menjelaskan mana-mana soalan yang tidak sempat dijawab oleh menteri, Ahli Parlimen boleh membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 atau jawapan akan diberikan secara bertulis.

“Cadangan saya sekiranya soalan tidak sempat dijawab oleh kerajaan kita ada sesi perbahasan bajet, kita boleh bangkitkan dalam perbahasan bajet. Pada masa itu menteri-menteri boleh menjawab. Sekiranya tidak sempat amalan biasa kita masa kerajaan Pakatan Harapan dulu pun secara bertulis,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu apabila Hannah Yeoh (PH-Segambut) membangkitkan isu itu dan bertanyakan apakah platform untuk Ahli Parlimen bertanyakan soalan tambahan.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) sama ada usul itu terpakai sekiranya jumlah kes positif COVID-19 dalam negara menunjukkan penurunan dan persidangan Dewan Rakyat boleh kembali kepada sistem asal, Takiyuddin berkata usul boleh dipinda dan dibuat pada bila-bila masa.

“(Usul) boleh dipinda, boleh dibuat usul baharu dengan persetujuan. Kita ada konsep musyawarah, empat orang Ketua Whip daripada pembangkang akan dirunding,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda