
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan Pusat e-Dakwah Indera Mahkota bertujuan mengembangkan aktiviti pembangunan modal insan dengan memberikan tumpuan kepada aspek penghayatan dan penyampaian ajaran agama Islam menggunakan medium teknologi digital.
Menurut Saifuddin, pusat e-dakwah ini akan turut menganjurkan latihan dan bengkel selain berkolaborasi dengan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan program keagamaan yang bersifat keilmuan mahupun hiburan atau kesenian Islam seperti nasyid, marhaban dan seni khat.
“Kita telah memperuntukkan sejumlah RM150,000 bagi tujuan ini sepanjang tahun 2021 nanti dan antara perancangan aktiviti yang dirangka untuk pusat operasi program e-dakwah ini ialah merakam dan mendigital tazkirah atau kuliah Subuh dan Maghrib mahupun ceramah agama,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Sg. Karang, di sini baru-baru ini.
Semasa pelancaran ini juga, Datuk Badli Shah Alaudddin menerima anugerah Ikon Pusat e-Dakwah Indera Mahkota manakala sumbangan turut diberikan kepada Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad yang dijadikan sebagai Pusat e-Dakwah Indera Mahkota.
-SH