Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 Bermula

By 12 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 bermula Khamis, menyaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dua kali setahun itu, dari Kuala Lumpur.

Turut serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc mempengerusikan acara pembukaan dari Hanoi secara maya yang turut disertai pemimpin ASEAN lain.

Bertemakan “Cohesive and Responsive ASEAN” sidang kemuncak itu dipengerusikan Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020.

Majlis perasmian bermula 9.30 pagi waktu Malaysia, dimulakan dengan lagu ASEAN dan ucapan alu-aluan Presiden Vietnam Nguyen Phu Trong.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN Dato Lim Jock Hoi dari Brunei dalam satu kenyataan di laman web ASEAN, memuji kepimpinan Vietnam selaku pengerusi ASEAN.

“Meskipun berdepan cabaran COVID-19 dan bencana alam, Vietnam tetap meletakkan agenda kepusatan ASEAN dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya. Lim juga menyertai sidang kemuncak itu secara dalam talian.

Menurut kenyataan itu, agenda Sidang Kemuncak ASEAN ke-37, antara lain mengenai Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN dan pelan pelaksanaannya, yang akan berfungsi sebagai strategi penyelesaian ke arah pemulihan keseluruhan dan pembangunan semula yang lebih baik, kesan daripada pandemik COVID-19.

Perbincangan lanjut mengenai koridor perjalanan ASEAN, yang akan memudahkan perjalanan perniagaan penting di rantau ini dengan selamat juga dijadual diadakan.

Selain itu, pemimpin ASEAN dijadual bertemu rakan dialog menerusi ASEAN Plus One. Atur cara hari ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-23, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-23, Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-21 dan Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-17.

Susulan pandemik COVID-19, pemimpin ASEAN, di bawah Pengerusi Vietnam, sebelum ini sudah menganjurkan tiga sidang kemuncak pada 2020 iaitu Sidang Kemuncak ASEAN Khas dan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga pada 14 April, serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 pada 26 Jun.

Pada akhir sidang kemuncak, Vietnam akan menyerahkan jawatan pengerusi kepada Brunei.

ASEAN, yang ditubuhkan pada 1967, merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda