
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri memberi jaminan venue Sukan Malaysia (Sukma) 2020 tidak akan menjadi ‘gajah putih’ berikutan kejohanan dwitahunan tersebut dianjakkan ke tahun 2022.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kesemua 39 venue termasuk 11 venue baharu tersebut akan dibuka untuk kegunaan orang ramai termasuk atlet Johor.
“Saya memberi jaminan kesemua venue tersebut termasuk 11 venue baharu tidak akan menjadi ‘gajah putih’ dan perkara ini telah dibincangkan di peringkat sekreteriat Sukma Johor, Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan pihak Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ).
“Perbincangan telah diadakan dan pelbagai aktiviti akan diadakan di venue tersebut supaya atlet serta rakyat Johor boleh menggunakan kemudahan yang telah disediakan,” katanya semasa sidang media khas di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini semalam.
Onn Hafiz juga berkata, kerajaan negeri turut bercadang untuk memberikan imbuhan kepada 948 atlet, jurulatih serta pegawai sukan di negeri itu sebagai tanda penghargaan dan suntikan semangat selepas temasya berkenaan ditunda beberapa kali.
Pada 9 November lalu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan temasya SUKMA Johor terpaksa dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.
Negeri Johor akan tetap akan diberikan hak penganjuran edisi 2022 kerana telah mencapai 99 peratus persediaan perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.
Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lepas telah ditangguhkan pada 6 hingga 14 Mac 2021 berikutan pandemik COVID-19 dan telah dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April 2021.
-NI