Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 1,937 Kes Baharu, Sembilan Kematian

By 13 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Malaysia terus mencatat empat digit kes harian baharu COVID-19 apabila 1,937 kes direkodkan dengan sembilan lagi kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara kini mencecah 82,246 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 13,751, manakala jumlah maut akibat pandemik itu setakat ini ialah 411 orang.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,935 kes,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini situasi COVID-19, di sini semalam.

Beliau berkata Selangor masih melaporkan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 823 kes dengan 714 kes adalah daripada kluster dan aktiviti saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan, diikuti Sabah (429 kes) dan Kuala Lumpur (238 kes).

Sementara itu menurutnya, jumlah sembuh ialah 911 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 68,084 kes dan sehingga kini, terdapat 121 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 66 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan pecahan kes mengikut negeri, Dr Noor Hisham berkata selain Selangor, Sabah dan Kuala Lumpur yang mencatat kes yang tinggi, Johor pula mencatat 105 kes; Pulau Pinang (102); Pahang (79); Perak (62); Negeri Sembilan (49); Kedah (16); dan Melaka (15).

Selain itu, Labuan mencatat 11 kes, Terengganu (enam), manakala Sarawak dan Kelantan masing-masing mencatatkan satu kes.

Sembilan kes kematian pula melibatkan lapan lelaki termasuk dua bukan warganegara, selain seorang wanita warga Malaysia. Mereka berusia antara 33 dan 84 tahun, iaitu empat kes kematian dicatat di Sabah, Johor (tiga) dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda