
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Kes harian positif COVID-19 dalam negara terus mencatat empat angka dengan 1,772 kes direkodkan menjadikan kumulatif 86,618 kes setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 1,084 kes sembuh dilaporkan, menjadikan kumulatif 71,681 kes sudah pulih sepenuhnya atau 82.8 peratus daripada keseluruhan kes.
Menurutnya tiga kematian baharu dilaporkan, kesemuanya di Sandakan, Sabah, menjadikan jumlah kematian sehingga ini kepada 422 orang iaitu 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 12 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,760 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai COVID-19, semalam.
Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, Kuala Lumpur mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 696 kes (39.3 peratus) di mana 567 kes (81.5 peratus) adalah berpunca daripada saringan Kluster Tapak Bina Damanlela yang melibatkan generasi kelima dan keenam.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 118 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 56 memerlukan bantuan pernafasan.
— BERNAMA