Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

Harapan Menggunung Sambut 2021

By 31 Disember 2020Tiada komen5 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Sesudah 2020, tahun yang penuh duka dan ketidakpastian berlalu, rakyat Malaysia menyandarkan harapan menggunung agar 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik.

Harapan itu bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Ramai memikirkan jangkaan vaksin untuk melawan pandemik COVID-19 sudah tersedia pada tahun baharu.

Virus maut itu telah memaksa petugas penjagaan kesihatan bekerja keras tanpa mengenal penat lelah, menjejaskan ekonomi malah menyebabkan beberapa perniagaan terpaksa gulung tikar selain menuntut orang ramai mengamalkan norma baharu dalam gaya hidup, belajar dan bekerja.

Mereka lega apabila mendengar kumpulan pertama vaksin COVID-19 akan diperoleh pada Februari 2021.
Ini dapat dilaksanakan melalui perjanjian yang ditandatangani kerajaan dengan syarikat farmaseutikal Covax, Pfizer dan AstraZeneca yang telah memperoleh jaminan 40 peratus bekalan vaksin.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa vaksin berkenaan akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia dengan keutamaan kumpulan berisiko tinggi, antaranya petugas barisan hadapan, warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit.

Kerajaan perlu membelanjakan US$504.4 juta (RM2.05 bilion), tetapi yang penting adalah untuk memastikan sebanyak mungkin orang dapat dilindungi daripada koronavirus.

Tidak dapat dinafikan pandemik itu telah memaksa banyak orang untuk bekerja dari rumah dan menggunakan lebih banyak Internet untuk terus berhubung dengan pejabat atau pelanggan mereka serta membuat dan menerima pembayaran. Keperluan mereka untuk mempunyai hubungan tanpa gangguan dan urus niaga dalam talian yang selamat menjadi semakin meningkat.

Dalam hal ini, Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) yang akan dianjurkan Malaysia pada 21 dan 22 Jan ini adalah tepat pada masanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dijadual mempengerusikan mesyuarat maya yang bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”. Mesyuarat itu bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN ke arah membangunkan ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk menggubal Pelan Induk Digital ASEAN yang diharapkan dapat menyediakan garis panduan untuk negara-negara ASEAN dalam menghadapi cabaran ekonomi digital.

Transformasi digital semakin meningkat, bukan sahaja dalam kerajaan dan perniagaan tetapi juga sukan.

Bercakap mengenai sukan, atlet negara sibuk membuat persiapan untuk pelbagai temasya sukan antarabangsa yang ditangguhkan ke 2021 kerana pandemik tersebut.

Penangguhan itu mungkin satu rahmat yang terselindung buat atlet kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk menjalani latihan dan dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam acara mereka.

Acara yang ditangguhkan itu ialah Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok (27 hingga 31 Jan); Sukan Olimpik Tokyo 2020 (23 Julai hingga 8 Ogos); Paralimpik Tokyo 2020 (24 Ogos hingga 5 Sept) dan kejohanan Piala Thomas dan Uber 2020 di Denmark (3 hingga 11 Okt).

Buat masa ini, 12 atlet telah mendapat tiket ke Olimpik Tokyo dan 10 atlet para ke Paralimpik Tokyo, sementara 36 atlet termasuk 13 atlet para, sedang berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk memenuhi syarat dua temasya ini.

Antara yang layak untuk Olimpik ialah Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus (berbasikal trek); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik); Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran-laser standard); Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran-laser radial); Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran-international 470) serta Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Atlet terjun Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal); Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama turut menempah tempat.

Sementara itu, 10 atlet para daripada lima sukan yang layak bagi Paralimpik Tokyo 2020 ialah Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S. Suresh dan Wiro Julin (memanah); Mohd Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi and Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia); dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Walaupun pandemik ini menjejaskan sesetengah orang, namun ada juga yang mendapat manfaatnya.

Contohnya, ekonomi gig. Banyak orang beralih ke ekonomi gig untuk meraih pendapatan dan menyedari ia perniagaan yang sedang berkembang.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengkehendaki orang berada di dalam rumah dan bekerja dari rumah sebagai kaedah untuk membendung penularan koronavirus dalam masyarakat telah mendorong peningkatan membeli-belah dalam talian selain pengembangan perkhidmatan penghantaran.

Mereka yang memilih ekosistem bebas itu bukan sahaja mencari pendapatan tambahan atau sumber pendapatan utama tetapi juga didorong oleh fleksibiliti dari segi waktu kerja dan lokasi kerja serta kebebasan untuk memilih jenis pekerjaan yang ingin mereka lakukan.

Melihat potensi ekonomi gig, Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menyatakan bahawa bekerja sendiri boleh menjadi pilihan sesuai buat pencari kerja dan inisiatif perlu difokuskan untuk menjana lebih banyak pekerjaan melalui peluang keusahawanan.

Baru-baru ini, kerajaan memutuskan untuk melonggarkan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), terutama sekatan perjalanan antara daerah serta merentas negeri, dan ini telah membolehkan beberapa perniagaan tradisional bernafas semula.

Ketika orang ramai bebas bergerak di negara ini, industri pelancongan dan pelancongan mendapat manfaatnya.

Hotel menawarkan tawaran penginapan dan makanan. Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia juga mengambil kesempatan memperkenalkan laluan domestik baharu ke lokasi pelancongan yang popular.

PKP juga telah menyumbang kepada budaya bekerja dari rumah (WFH) yang lebih komprehensif.

WFH bukanlah suatu yang baharu. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkannya tujuh tahun lepas, pada 2013, namun inisiatif berkenaan kurang mendapat sambutan memandangkan ramai lebih senang bekerja di pejabat.

Kini, semuanya telah berubah. WFH telah menjadi amalan zaman baharu.

Bagaimanapun, pakar percaya orang Asia belum cukup bersedia untuk mengamalkan WFH kerana dua perkara utama – sambungan Internet yang perlahan atau teruk dan pengurus yang tidak mempercayai pekerja dengan sepenuhnya.

Percaya atau tidak, pandemik ini telah mengajar kita mengenai pentingnya menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, menggunakan pensanitasi tangan dan memakai pelitup muka sebagai suatu amalan biasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan yakin pendekatan kesihatan awam ini – mencuci tangan dengan kerap dan memakai pelitup muka merupakan kaedah terbaik untuk membendung penyebaran jangkitan COVID-19.

Pandemik, yang dilihat sebagai bencana oleh banyak orang, telah mengajar kita erti bersyukur dan menghargai. Marilah kita menunjukkan rasa syukur dan penghargaan kepada lebih ramai orang ketika kita melangkah ke 2021.

Jadilah optimis, kerana masih ada sinar harapan!

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda