Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Harapan Rakyat Jangan Dipersiakan – DYMM Sultan Perak

By 10 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel (Kuala Kangsar)/Fandy Azlan (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihati pemimpin untuk terus menjalankan amanah sebaiknya dan tidak mempersiakan kepercayaan rakyat selama ini.

Titah baginda, rakyat meletakkan harapan bahawa setiap pemimpin yang dipilih akan dapat membantu untuk menambah baik kehidupan mereka.

“Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India, Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi yang mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.

“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.

Saarani menandatangani watikah pelantikan di Istana Iskandariah, di sini.

Saarani menandatangani watikah pelantikan di Istana Iskandariah, di sini.

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda ketika Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum Keempat Belas, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan, perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.

“Perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan, kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan bawah pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan turut memperkenankan ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

-SH

Tinggalkan komen anda