Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kepala Pesakit Cilik COVID-19 Tersangkut di Celah Besi Katil

By 7 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga pesakit COVID-19 tersangkut kepala di celah besi katil di wad Hospital Tumpat malam semalam ketika bermain di katilnya.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Marzuki Awang berkata dalam kejadian pada 10.25 malam itu, kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada hospital pada 10.27 malam.

“Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk memotong besi katil dan berjaya menyelamatkan mangsa.

“Kepala kanak-kanak itu berjaya ‘dilepaskan’ dan mangsa selamat daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Marzuki berkata usaha menyelamat yang dilakukan lapan anggota bomba telah dipantau oleh pegawai perubatan dan jururawat hospital susulan keperluan mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung penularan COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda