Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Sediakan ‘ASEAN Digital Master Plan’ Sempena Mesyuarat Pertama ADGMIN1 Januari 2021

By 15 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Facebook Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi)

PUTRAJAYA, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Malaysia diberikan tanggungjawab untuk menyediakan ASEAN Digital Master Plan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) yang akan diadakan secara telesidang pada 21 hingga 22 Jan tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata pelan tersebut adalah sebagai panduan kepada negara-negara ASEAN dalam menghadapi ekonomi digital yang mendatang.

Beliau berkata pada masa ini, kementerian sudah menyiapkan draf pelan tersebut dan telah diedarkan kepada negara-negara ASEAN untuk disemak dan memberikan persetujuan supaya ia dapat dimuktamadkan.

“Ini merupakan sesuatu yang bersejarah untuk Malaysia kerana kita yang sediakan ASEAN Digital Master Plan (pelan induk Digital ASEAN) yang akan dijadikan panduan negara-negara ASEAN dalam menghadapi ekonomi digital dan sudah tentu juga dinantikan sebagai panduan untuk berhadapan dengan cabaran selepas COVID-19 ini.

“Insya-Allah, ASEAN Digital Master Plan ini akan dilancarkan semasa mesyuarat tersebut diadakan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

KKMM dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan menterinya Datuk Saifuddin Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community” itu, yang antara lain bertujuan memantapkan jalinan kerjasama negara-negara ASEAN ke arah pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan pasca COVID-19.

Mesyuarat itu juga akan mengambil peluang memperluaskan kerjasama dengan rakan dialog ASEAN antaranya Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan India dalam meningkatkan kebijakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mengembangkan sumber daya manusia, meneroka dan menjelajahi teknologi baharu serta meningkatkan kemampuan untuk menangani risiko di alam siber.

Mohammad berkata beliau sendiri turut terlibat dalam mesyuarat di peringkat pegawai-pegawai kanan dan menjadi pengerusi mesyuarat berkenaan bagi membincangkan beberapa perkara yang akan dibawa ke mesyuarat ADGMIN1 untuk diputuskan.

“Selaku tuan rumah dan pertama kali diadakan secara telesidang tanpa kehadiran menteri-menteri ASEAN, saya berharap mesyuarat ini dapat meningkatkan lagi kerjasama antara negara-negara ASEAN melalui platform seperti ini selain membudayakan pembangunan digital untuk membantu dari segi peningkatan ekonomi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda