Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Menara Pemancar MOCN Pertama Dibina di Sungai Petani

By 8 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Sungai Petani)

SUNGAI PETANI, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara mengambil inisiatif merangka pelan penyediaan liputan dengan membina menara sementara setinggi 30 meter di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, di sini ekoran masalah liputan talian telekomunikasi yang lemah dan sering terganggu, di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Wan Romani Wan Salim, berkata menara berkenaan akan menyediakan akses kepada keempat-empat rangkaian telekomunikasi berkenaan melalui pemancar yang menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) yang pertama seumpamanya di semenanjung Malaysia.

“Kerja-kerja penyediaan tapak menara telah dimulakan pada 19 November lalu dan telah mula beroperasi pada 4 Disember lalu, setelah memperoleh kebenaran pengoperasian daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK),” katanya ketika membuat lawatan ke tapak pemancar bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Kedah Azhar Abdul Rahman, di sini hari ini.

Rata-rata penduduk ketika ditemui melahirkan rasa lega dan berharap talian komunikasi yang disediakan akan membantu dalam memudahkan perhubungan telekomunikasi dan capaian internet terutama dalam berhadapan dengan norma baharu yang memerlukan capaian internet tanpa gangguan.

Hadir sama, wakil daripada Bahagian Perancang Ekonomi Kedah (BPEN), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Penghulu Mukim Sungai Petani, serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

-SH

Tinggalkan komen anda