Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kolam Ikan Disyaki Punca Pencemaran Bau Sungai Selangor

By 8 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau Sungai Selangor hari ini hingga menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) disyaki berpunca dari kolam ikan keli di Sungai Tinggi, Hulu Selangor.

LUAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pencemaran bau tersebut disyaki berpunca daripada discaj pelepasan dari salah satu kolam ikan tersebut bagi tujuan pengeringan kolam.

“Keluasan Premis tersebut adalah 46.1 hektar dengan 57 kolam ikan iaitu pada jarak 8.7 kilometer dari LRA Rantau Panjang.

“Berdasarkan siasatan, premis berkenaan membuat pelepasan dari dua ‘outlet’ dengan jumlah yang besar ke alur pada jarak kurang 100 meter yang seterusnya ke Sungai Selangor telah menyebabkan pencemaran bau dalam air mentah.

“LUAS telah menjalankan enam pensampelan di tapak siasatan untuk dianalisa ke Jabatan Kimia,” menurut kenyataan tersebut.

Kolam ikan keli berhampiran Sungai Tinggi, Hulu Selangor yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor hari ini.

Kolam ikan keli berhampiran Sungai Tinggi, Hulu Selangor yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor hari ini.

Menerusi kenyataan berkenaan juga, pihaknya telah mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah seksyen 122 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 kepada pemilik premis untuk memberhentikan discaj serta-merta dan menjalankan pemulihan segera ditapak.

“LUAS turut membuka kertas siasatan bagi penyiasatan di bawah seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM 200 ribu sehingga
maksimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 3 tahun.

“Siasatan juga dibuat di bawah seksyen 41(2) enakmen yg sama bagi kesalahan mengambil atau mengguna air daripada sumber air tanpa kelulusan Lembaga.

“Pencemaran tersebut berjaya dikekang daripada menjadi lebih teruk dengan pelepasan air dari HORAS 600 bagi tujuan meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor dan LRA telah dapat beroperasi semula kurang daripada tempoh 4 jam,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor memaklumkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas dalam tempoh 5 jam disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor pagi tadi.

Ianya mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah
Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda