Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

NADMA Aktif Promosi Kempen Pembudayaan Norma Baharu kepada Pengguna Lebuh Raya

By 17 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)

SHAH ALAM, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengambil inisiatif mempromosikan Kempen Pembudayaan Norma Baharu khusus untuk peniaga dan pengguna lebuh raya di negara ini.

Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata ianya untuk memberi kesedaran tentang amalan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) kepada masyarakat di laluan berkenaan terutama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Kita bersama-sama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menyerahkan bahan-bahan promosi kempen ke premis-premis yang berada di R&R bagi memberi kesedaran pengguna jalan raya dan pengunjung tentang pentingnya mengamalkan SOP yang telah ditetapkan semasa pandemik COVID-19.

“Rentas negeri telah dibenarkan dan kawasan R&R merupakan tumpuan pengguna jalan raya yang hendak balik ke kampung, maka tangungjawab adalah kepada pengguna untuk mematuhi semua SOP yang ditetapkan” katanya semasa sidang media selepas majlis penyerahan bahan kempen pembudayaan norma baharu kepada wakil syarikat konsesi lebuhraya dan peniaga di R&R Awan Besar, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), di sini hari ini.

Aminuddin menyerahkan bahan kempen dan cenderahati kepada premis perniagaan sekitar R&R Awan Besar, di sini.

Aminuddin menyerahkan bahan kempen dan cenderahati kepada premis perniagaan sekitar R&R Awan Besar, di sini.

Aminuddin turut menyeru semua syarikat konsesi memastikan pematuhan SOP dipertingkatkan di kawasan R&R sepanjang lebuh raya seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kebersihan diri dalam kalangan pengguna dan peniaga.

“Sebelum ini kita telah buat banyak jerayawara di premis-premis perniagaan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sekitar Lembah Klang dengan mengedarkan kain rentang dan gegantung kempen pembudayaan norma baharu.

“NADMA akan terus menyebar luas kesedaran pembudayaan norma baharu kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKR Datuk Dr. Syed Omar Sharifudin serta Pengerusi LLM Datuk Abdul Rashid Asari.

Tinggalkan komen anda