Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Guna Teknologi VSAT Sedia Internet di Kawasan Pedalaman

By 17 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Facebook Zahidi Zainul Abidin

PUTRAJAYA, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan menggunakan teknologi satelit ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) untuk menyediakan perkhidmatan internet di kawasan-kawasan terpencil, termasuk di pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia selaras dengan langkah kementerian yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi, dengan menggunakan pelbagai teknologi.

Bagaimanapun, beliau mengakui penggunaan teknologi satelit itu bukanlah penyelesaian terbaik bagi jangka masa panjang, dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar.

“Ini kerana perkhidmatan jalur lebar yang disediakan melalui teknologi satelit mempunyai kelemahan, termasuk kemampuan berdasarkan kapasiti yang terhad, kos operasi dan kos penyelenggaraan yang tinggi, serta masalah kestabilan perkhidmatan sekiranya terdapat gangguan cuaca atau bekalan kuasa.

“Namun dengan perkembangan berterusan teknologi satelit, kementerian akan terus menilai dan mempertimbangkan teknologi satelit ini untuk kegunaan di kawasan yang tidak dapat dijangkau, oleh rangkaian gentian optik dan teknologi 4G,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan Senator Adrian Banie Lasimbang, yang mahukan penjelasan berhubung teknologi terkini yang digunakan kerajaan untuk memastikan capaian liputan 4G, di kawasan terpencil atau titik buta di Sabah.

Selain itu katanya, untuk memastikan kawasan terpencil dan titik buta liputan di Sabah dapat menikmati kelajuan mudah alih yang sewajarnya, kajian akan dilakukan bersama pemberi perkhidmatan dan pihak negeri Sabah dalam mengenal pasti langkah penyelesaian.

Zahidi berkata ia perlu dilaksanakan, kerana keadaan topografi serta bilangan penduduk di kawasan terpencil di Sabah memainkan peranan, dalam menentukan struktur rangkaian yang berkesan dan berdaya maju daripada segi ekonomi, serta kalis masa hadapan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda