Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peniaga Haiwan Ternakan Rugi Lebih RM200,000 Ditipu Macau Scam

By 25 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 25 Dis (Malaysiaaktif) – Seorang peniaga haiwan ternakan kerugian RM202,909 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, yang mengatakan kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikatnya, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata, lelaki berusia 32 tahun yang tinggal di Sungai Petani itu, menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mangsa menafikan tunggakan cukai berkenaan, namun kemudiannya telah disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat pengesahan.

“Panggilan telefon kemudiannya disambung kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Datuk dari IPK Pahang. Suspek meminta mangsa untuk membuka aplikasi Whatsapp sebelum menerima satu mesej yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Elias, mangsa diminta membuka pautan mesej yang diberikan untuk mengisi maklumat peribadi bagi siasatan lanjut, namun tanpa membuat semakan, mangsa telah mengisi butiran peribadi dan syarikat.

Katanya mangsa berasa curiga lalu membuat semakan baki akaun syarikatnya mendapati lapan pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM202,909 dibuat ke enam akaun bank yang berbeza dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling semalam, yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda