Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL Bangunkan Beberapa Potensi Pelancongan Baharu Labuan

By 13 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 13 Disember (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) akan membangunkan beberapa lokasi yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan yang baharu di pulau ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman, antara lokasi tersebut adalah Pulau Batu Layar-Layar yang terletak di hadapan Kampung Bebuluh Laut dan kawasan paya bakau Kinabenuwa.

“Kita ambil tindakan untuk menamakan batuan itu sebagai Batu Layar-Layar atau lebih dikenali oleh warga tempatan sebagai Batu Larai-Larai.

“Kita juga telah memohon peruntukan sebanyak RM1.5 juta di bawah RMK-12 untuk menaiktaraf kawasan paya bakau Kinabenuwa sebagai kawasan ekopelancongan, kita harapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dapat mengangkat permohonan PL ke pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya semasa membuat lawatan ke lokasi-lokasi potensi pelancongan baharu bersama media semalam.

Menyusuri kawasan paya bakau Kinabenuwa antara aktiviti yang dijalankan.

Menyusuri kawasan paya bakau Kinabenuwa antara tarikan baharu di Labuan.

Beliau turut memuji perusahaan ikan dalam sangkar di Kampung Bebuluh Laut yang diusahakan oleh anak muda tempatan kampung itu.

“Kita dapati ada anak muda dari Kampung Bebuluh Laut ini aktif dalam projek ikan dalam sangkar dan ini boleh dicontohi oleh anak muda lain untuk menjana pendapatan serta meningkatkan sektor penternakan sekaligus boleh dijadikan daya tarikan pelancongan yang baharu.

“Selain itu PL akan lihat semula untuk menaik taraf Kampung Bebuluh Laut yang sesuai untuk dijadikan kampung pelancongan kerana dihadapannya terletak Pulau Batu Layar-Layar dan berhampiran dengan kawasan paya bakau Kinabenuwa.

“Kampung Bebuluh Laut sesuai untuk dijadikan hub untuk mengambil pelancong untuk dibawa melawat ke kawasan sekitar, kita cuba untuk dapatkan bajet daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pelancongan untuk kita bangunkan sektor tersebut,” katanya.

Fary (tiga dari kiri) meninjau perusahaan ikan dalam sangkar di Kampung Bebuluh Laut.

Fary (tiga dari kiri) meninjau perusahaan ikan dalam sangkar di Kampung Bebuluh Laut.

PL juga katanya akan membangunkan kawasan Tanjung Kubong sebagai salah satu tarikan pelancongan yang istimewa di pulau itu.

“Tanjung Kubong merupakan salah satu tapak Geopark yang akan dibangunkan di Labuan bersama Perbadanan Labuan dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan kita akan akan mengambil tindakan untuk mewartakan kawasan terlibat menjadi tapak Geopark Labuan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, PL jelasnya telah membuka iklan untuk pelabur yang berminat memajukan sektor pelancongan Labuan.

“Tahun depan PL giatkan lagi sektor pelaburan dan kita telah kenal pasti syarikat-syarikat yang telah masuk iklan sebutharga untuk memajukan Pulau Papan, Pulau Rusukan serta pembangunan waterfront di kawasan pasar lama Labuan,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda