Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Wanita Maut Dilanggar Sebelum Kereta Jatuh Terhumban

By 4 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh seorang warga emas wanita, sebelum kereta itu merempuh tembok dinding parkir dan jatuh terhumban dari tingkat satu pada ketinggian kira-kira enam meter, di sebuah kondominium di Pulau Pinang, semalam.

Kejadian pada kira-kira pukul 11.45 pagi itu mengakibatkan pejalan kaki, Kim Hui Ping, 49, maut di tempat kejadian, manakala warga emas berumur 71 tahun yang memandu Toyota Vios mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pemandu itu dipercayai terkejut apabila tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas di hadapannya, lalu menekan pedal minyak secara tidak sengaja, melanggar wanita berkenaan sebelum merempuh tembok dinding parkir tingkat satu dan jatuh ke atas sebuah lagi kereta yang diparkir di bawah bangunan.

Beliau berkata pejalan kaki itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu kereta yang tersepit dalam kenderaannya, berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba kira-kira 15 minit kemudian dan mengalami kecederaan parah.

Menurutnya warga emas yang cedera, serta mayat Kim dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pengawal keselamatan di kondominium tersebut, S.Thinagaran, 36, berkata kejadian itu berlaku sangat cepat dan beliau melihatnya sendiri, malah sempat menjerit kepada pejalan kaki itu dalam usaha menyelamatkannya.

“Wanita yang meninggal dunia itu, memang jadi rutin dia akan membasuh kaki di paip air berhampiran sebelum memandu ke kawasan parkir bertingkat, dia akan letak kenderaannya di tepi jalan, kemudian naik (ke kawasan parkir). Semasa kemalangan dia sedang melintas jalan.

“Saya lihat kereta dipandu warga emas itu dalam keadaan perlahan namun sebaik rempuhan, kenderaan itu terus memecut laju sehingga merempuh tembok dinding dan terhumban jatuh. Saya sempat dengar jeritan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda