Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Negara merekodkan 24 kematian harian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, angka tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah terkumpul kematian kerana jangkitan itu sebanyak 896 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau berkata 21 kematian adalah warganegara.
Beliau berkata angka kumulatif kes COVID-19 di negara ini pula kini berjumlah 245,552 kes, selepas 3,100 kes harian baharu dilaporkan dengan 3,099 daripadanya merupakan jangkitan tempatan.
Kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah sebanyak 51,977 kes, manakala kes yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) pula seramai 282 orang dengan 134 memerlukan bantuan pernafasan, katanya.
Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu 1,196 diikuti Johor (490 kes) dan Melaka (344 kes).
Sementara itu dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 29 kes dilaporkan berkait kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, merangkumi DTI Sepang 2 dengan sembilan kes, Penjara Kepayan (6), Tembok Renggam (4), Tembok Sungai Udang (3), Penjara Seberang Perai (3), Penjara Jalan Harapan (2), Tembok Pengkalan Chepa (1) dan Tembok Bukit Besi (1).
Mengenai kes kematian baharu, beliau berkata Selangor mencatatkan tujuh kes, masing-masing tiga kes di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Perak dan Johor serta satu kes di Kelantan, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang, dengan lingkungan umur mangsa dari 44 hingga 98 tahun.
Menurutnya 2,340 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 192,679 kes.
— BERNAMA