![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/02/kkm2.png)
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Kes sembuh harian COVID-19 meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh 24 jam lepas berbanding semalam dengan 3,369 kes direkodkan, sementara kes baharu pandemik itu pula ialah 3,731 kes.
Sejumlah 15 kematian akibat COVID-19 dilapor semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian ialah 872 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia kini 190,339 kes, manakala jumlah kumulatif kes positif COVID-19 ialah 242,452 kes.
“Jumlah keseluruhan kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara pula 51,241 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, lapan adalah kes import melibatkan empat rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 3,723 kes melibatkan 1,946 warga tempatan.
Dr Noor Hisham berkata seramai 292 orang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 140 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Kes kematian, kesemuanya melibatkan warganegara iaitu lapan lelaki dan tujuh wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 94 tahun dengan 14 daripada mereka berpenyakit.
“Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,606 kes, diikuti Johor dengan 499 kes dan Kuala Lumpur (372 kes) manakala Melaka pula mencatat 313 kes; Pulau Pinang (250); Sarawak (219); Sabah (160); Negeri Sembilan (92); Perak (71); Kedah (43); Pahang (34); Kelantan (32); Terengganu (29); Putrajaya (sembilan) dan Perlis (dua kes),” katanya.
— BERNAMA