Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

3,847 Kes Baharu, Kes Aktif Kini Melebihi 50,000

By 7 Februari 2021Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 3,847 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini mencecah 50,894.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh harian ialah 1,692 kes menjadikan kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 186,970 atau 78.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau memaklumkan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini mencecah 238,721 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat empat kes import melibatkan warga tempatan yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 3,843 kes, melibatkan 2,569 warga tempatan dan 1,274 warga asing,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, semalam.

Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,481 kes diikuti Johor (585 kes) dan Kuala Lumpur (402).

Ia diikuti Melaka (329 kes); Sabah (233); Pulau Pinang (211); Sarawak (185); Negeri Sembilan (133); Kedah (64); Kelantan (62); Terengganu (56); Pahang (48); Perak (36); Labuan (10); Putrajaya (lapan); dan Perlis dengan empat kes.

Dr Noor Hisham berkata  seramai 305 orang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 139  daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 12 kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian ialah 857 orang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda