Laporan/foto: Syed Hisham (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi satu kenyataan media menafikan bahawa pihak Zoo Negara terlibat dengan penjualan Rusa Bintik (Rusa Axis) yang melanggar prosedur yang ditetapkan.
“Zoo Negara beroperasi sebagai entiti perniagaan yang diuruskan oleh Malaysian Zoological Society (MZS) di mana mereka diberikan permit pengendalian zoo di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] oleh Jabatan PERHILITAN.
“Zoo Negara perlu mendapatkan lesen atau permit khas daripada Jabatan PERHILITAN bagi penjualan atau pembelian mana-mana spesies hidupan liar di bawah Akta 716, bagaimanapun Rusa Bintik adalah spesies hidupan liar yang tidak dilindungi di bawah akta tersebut, oleh itu penjualan tersebut tidak tertakluk kepada akta yang dinyatakan,” katanya.
Dalam pada itu, Zoo Negara memaklumkan bahawa penjualan Rusa Bintik adalah sebahagian daripada pengurusan stok yang dilaksanakan memandangkan stok sedia ada sebanyak lebih 50 ekor adalah melebihi keperluan.
“Langkah ini juga dapat mengoptimumkan kos pengurusan terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita pada 4 Februari lalu telah menyiarkan laporan mengenai penjualan Rusa Bintik oleh Zoo Negara kepada syarikat swasta yang dikatakan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
-SH