
Laporan/foto: Zamrud Laili Mohd Mustap/Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Utara)
BUTTERWORTH, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang menggagalkan cubaan mengimport sotong sejuk beku dari Negara China yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
Pengarah MAQIS Negeri Pulau Pinang Zarina Ramli, berkata sotong sejuk beku yang ditemui hasil pemeriksaan pihaknya terhadap dua kontena di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) adalah seberat 45,000 kilogram (kg).

Hasil pemeriksaan terhadap dua kotena di NBCT mendapati sebanyak 4,500 kotak mengandungi sotong sejuk beku ditemui.
“Sotong sejuk beku sebanyak 4,500 kotak seberat 45,000kg yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dirampas kerana tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan daripada Jabatan MAQIS.

Sebahagian daripada sotong sejuk beku yang cuba diimport dari Negara China dirampas kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
“Perbuatan mengimport sotong sejuk beku tanpa permit import yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama iaitu jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, pihak MAQIS komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk Negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam Negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.
-ii-