Laporan/foto: Nazirah Ripin/Faizal Yaakub (Johor)
JOHOR BAHRU, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Peniaga kecil di negeri ini dinasihatkan untuk bertindak lebih proaktif dengan beralih dari model perniagaan fizikal ke platform digital bagi membolehkan peniaga meneruskan kelangsungan operasi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Mazlan Bujang, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakkan (PKP) ini kaedah berniaga secara dalam talian perlu diperkasakan agar dapat mengurangkan beban mereka yang kehilangan punca pendapatan.
“Demi meneruskan kelangsungan hidup, para peniaga perlu mencari inisiatif dengan berniaga secara atas talian dan tidak terikat dengan medium konvensional sahaja terutama ketika negara sedang dilanda wabak COVID-19.
“Peniaga tidak boleh lagi hanya menunggu pelanggan datang ke premis perniagaan mereka kerana dalam keadaan sekarang kebanyakan pengguna lebih memilih untuk membeli barang secara atas talian,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan COVID-19 Peniaga Kecil Bazar Karat JB, di sini hari ini.
Tambah beliau, berikutan pergerakan yang terhad ekoran pelaksanaan PKP penggunaan platform jualan atas talian semakin popular dalam kalangan pengguna untuk membeli-belah.
Pada majlis tersebut, seramai 105 peniaga kecil Bazar Karat telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 bagi membantu mengurangkan beban mereka yang kehilangan sumber pendapatan berikutan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
“Pihak kami akan terus berusaha untuk membantu peniaga-peniaga Bazar Karat yang terjejas melalui inisiatif-inisiatif lain,” ujarnya.
Sejumlah RM31,500 diperuntukkan dalam program anjuran Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru tersebut.
-NI-