Laporan/foto: Safwanah Zulkopli/Noor Suraya Zainal (Timur Laut)
GEORGETOWN, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut (DTL) bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pulau Pinang (APM) dan Anggota RELA hari ini turun padang meninjau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pasar-pasar awam sekitar Parlimen Jelutong di sini.
Kolonel Pertahanan Awam Negeri Pulau Pinang Ishak Mohd Radzi, berkata tujuan utama pemantauan ini adalah bagi memastikan pengunjung pasar dan peniaga di pasar awam melaksanakan SOP bagi mencegah penularan COVID-19.
“Skuad Agen Banteras COVID (Skuad ABC-19) yang ditubuhkan tidak melibatkan penguatkuasaan.
“Skuad ABC-19 lebih kepada memberi teguran, nasihat dan panduan kepada orang ramai agar SOP yang telah ditetapkan dipatuhi,” katanya kepada pihak media yang turut menyertai tinjauan pelaksanaan SOP di pasar-pasar awam, di sini.
Ishak berkata antara pasar awam yang menjadi tumpuan utama ialah Pasar Awam Jalan Kuantan, Pasar Awam Jalan Perak, Pasar Awam Jelutong, dan Pasar Awam Taman Free School.
“Pemilihan kawasan pemantauan tersebut adalah ditetapkan oleh Jawatankuasa COVID Daerah Timur Laut,” katanya lagi.
Sementara itu, kakitangan daripada Pejabat Penerangan DTL turut sama digerakkan bagi mengedarkan bahan bacaan dan menyampaikan hebahan mengenai SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Proklamasi Darurat dan 3W3S.
-ii-