Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda mula menerima bekalan vaksin COVID-19 pertama bagi kegunaan lebih 4,800 petugas barisan hadapan negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Mohd Fikri Ujang, berkata kerajaan negeri telah menerima bekalan vaksin bagi peringkat pertama, yang akan disimpan di beberapa fasiliti penyimpanan yang dikawal rapi serta dilengkapi peralatan dan persekitaran yang selamat.
“Penerimaan vaksin peringkat pertama ini akan diedarkan kepada Pusat Pemberian Vaksin mengikut keperluan pusat tersebut.
“Tiga daerah yang yang dipilih untuk menjadi Pusat Penyimpanan Vaksin (PSV) berkenaan adalah Daerah Langkawi, Daerah Kota Setar dan Daerah Kuala Muda.
“Sehingga kini, Negeri Kedah telah menyenaraikan 57 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dimana 46 darinya adalah fasiliti kesihatan KKM dan selebihnya adalah di fasiliti kerajaan dan dewan yang telah dikenal pasti,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.
Menurut Dr. Mohd Fikri, bagi Daerah Kuala Muda PSV menggunakan Fasiliti KKM iaitu di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda di mana vaksin berkenaan kemudiannya akan diedarkan kepada PPV kawasan Kedah Selatan.
“Fasa pertama pemberian suntikan vaksin adalah bermula daripada 28 Februari sehingga akhir bulan April 2021, di mana penerima vaksin bagi peringkat pertama ini adalah daripada golongan petugas barisan hadapan yang bertugas menghadapi virus COVID-19 ini.
“Vaksinasi ini adalah penting bagi memerangi penularan COVID-19 dengan lebih berkesan serta memulihkan semula sektor ekonomi dan sosial yang terkesan semenjak pandemik ini melanda,” katanya.
-SH