Laporan/foto: Anuar Che Amat (Arau)
ARAU, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Kumpulan pertama dos Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di negeri ini, petang semalam.
Van syarikat logistik DHL yang membawa vaksin COVID-19 tiba di Perlis kira-kira pukul 1.00 tengah hari sambil diiringi oleh Pasukan Polis Trafik dan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dibawa ke pusat simpanan vaksin yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, pemberian vaksin di negeri ini akan melibatkan tiga fasa yang mana fasa pertama melibatkan hampir 8,000 petugas barisan hadapan.
“Fasa kedua yang bermula April hingga Ogos pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan yang mempunyai sejarah penyakit kronik.
“Sementara itu, fasa ketiga pula melibatkan kira-kira 100,000 penduduk di negeri ini yang terdiri daripada golongan dewasa yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawankuasa Kerja Keselamatan (JKKN) Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, mekanisme pelaksanaan pemberian suntikan vaksin itu juga sudah diperincikan oleh pihak Jabatan Kesihatan negeri di beberapa Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV).
“Empat tempat sudah dikenalpasti untuk fasa pertama iaitu Klinik Kesihatan Gail, Klinik Kesihatan Beseri, Klinik Kesihatan Felda Chuping dan Hopital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
“Manakala untuk fasa kedua dan ketiga, pihak kerajaan negeri telah mengenalpasti Dewan 2020 dan Dewan Warisan di Kangar serta Dewan Seri Melati di Beseri sebagai PPV,” ujarnya.
Terdahulu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula secara rasminya sebaik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19, semalam.
-NI-