Laporan/foto: Haliza Mohd Taib (Muar)
MUAR, 21 Feb (Malaysiaaktif) ā Dunia Nur Siti Aisyah Kamaruzain tidak lagi sunyi setelah menerima alat bantuan pendengaran sumbangan daripada Hospital Pakar KPJ Kluang.
Menurut wakil Pasukan Squad Lawatan Prihatin Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor Fazlun Othman, alat bantuan pendengaran ini merupakan tajaan daripada pusat rawatan tersebut.
“Saya ingin berterima kasih kepada pihak Hospital Pakar KPJ Kluang yang sudi menghulurkan bantuan kepada adik Aisyah.
“Bantuan ini bukan sahaja memudahkan urusan sehariannya tetapi juga melancarkan proses pembelajarannya di sekolah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan dan Pemasangan Alat Bantuan Pendengaran di hospital tersebut, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Mazlan Bujang, pada sesi lawatannya ke rumah Aisyah Disember tahun lalu telah mencetuskan kejayaan ini.
“Dalam kunjungan tersebut, kami telah mengadakan perbincangan bersama Timbalan CanselorĀ KPJ Prof Datuk Dr Lokman Saim dan Pengetua KPJ Nursing Bandar Dato Onn Johor Bahru Zaliza Mohamed berhubung masalah adik Aisyah di mana pihak KPJ berbesar hati untuk menanggung kos pemeriksaan dan perubatan masalah pendengarannya,” katanya.
Pengarah Perubatan dan Pakar ENT Dr Ahmad Farid Daud, yang ditemui berkata hasil keputusan pemeriksaan telinga dan audiologist menunjukkan bahawa telinga kanan adik Aisyah berada pada tahap teruk kepada sangat teruk, manakala telinga kirinya pada tahap memuaskan ke tahap yang teruk.
“Oleh itu, pihak kami membuat keputusan bahawa beliau terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran untuk telinga sebelah kirinya bagi membantu urusan sehariannya,” ujarnya.
Pada hari tersebut, alat bantuan pendengaran telah dipasang oleh Dr Ahmad Farid Daud yang mana alat ini boleh digunakan sehingga tempoh lapan tahun.
-NI