Laporan/foto: Hamidah Len/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina era pandemik COVID-19 menyaksikan Sambutan Tahun Lembu dilaksanakan dalam norma baharu.
Melalui tinjauan Jabatan Penerangan Negeri Sabah terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sekatan Jalan Raya (SJR) pada hari pertama Sambutan Tahun Baharu Cina sekitar Bandaraya Kota Kinabalu mendapati orang ramai mematuhi prosedur pergerakan seperti mana yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menurut Gerald Teoh, 45, yang berasal dari Tuaran, persiapan sambutan Tahun Baharu Cina beliau sekeluarga agak sederhana jika dibandingkan pada tahun sebelumnya.
“Disebabkan tidak boleh rentas daerah, persiapan dan perbelanjaan untuk barangan keperluan perayaan agak sederhana memandangkan sambutan diraikan bersama keluarga terdekat dengan acara makan besar hanya terdiri dari ahli keluarga yang tinggal berdekatan yang tidak melebihi 15 orang.
“Selain itu, bagi mengeratkan hubungan antara keluarga dan rakan-rakan kami turut berhubung secara maya dengan menggunakan panggilan video sebagai medium berinteraksi dengan ahli keluarga terutama yang berada jauh,” katanya yang ditemui di Sekatan Jalan Raya di KM 23, Taman Putera Jaya Telipok, di sini semalam.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Irene Chang, 34, sisi positif sambutan Tahun Baharu Cina kali ini adalah beliau dapat melakukan banyak penjimatan dalam perbelanjaan.
“Namun begitu, tradisi pemberian angpau tetap diteruskan dan kali ini saya memperuntukkan lebih banyak wang bagi sampul merah selain menyampaikan pemberian angpau secara dalam talian terutama kepada kaum keluarga yang jauh,” katanya.
-SH