Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Penerima Pemindahan Hati, Mohd Afiq Ikmal Dimasukkan ke Hospital Selayang

By 16 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Muhammad Zaini

SELAYANG, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Penerima pemindahan hati pertama di Malaysia kira-kira 22 tahun lalu, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23 kini dimasukkan ke Hospital Selayang sejak Sabtu lalu selepas mengalami komplikasi.

Bapa beliau, Muhammad Zaini Rahim, 50, berkata ini merupakan kejadian pertama anak sulungnya itu tidak sedarkan diri.

“Malam sebelum kejadian, dia ada mengadu sakit perut namun paginya dia sempat bangun bersarapan serta makan ubat sebelum tidur semula.

“Ketika kami kejutkan untuk makan ubat pada tengah hari, dia tidak beri tindak balas dan terus dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kini doktor sedang berusaha untuk menstabilkan keadaan Mohd Afiq selepas berlaku penolakan yang menyebabkan hatinya tidak berfungsi dengan baik.

“Ketika ini yang penting adalah memastikan keadaannya stabil dulu, kemudian baharu fikir rawatan selanjutnya sama ada pembedahan susulan atau pemindahan hati.

“Buat masa ini keluarga hanya mampu berdoa dan berserah, kami tidak pasti keadaannya sama ada dia dapat kembali pulih atau sebaliknya.

“Kami memang dimaklumkan akan ada komplikasi semasa pembedahan dulu, tapi ia juga bergantung kepada keadaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Zaini berkata selepas menjalani pembedahan pemindahan hati, anaknya itu bergantung kepada ubat-ubatan selain rawatan susulan serta sering keluar masuk hospital.

“Dia boleh berjalan cuma tak kuat, belajar bawak kereta naik basikal pun boleh dan merancang untuk ambil lesen kereta.

“Imunisasi dia lemah serta mudah jatuh sakit dan dia akan dimasukkan ke wad apabila demam atau paru-paru bermasalah,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Afiq yang ketika itu berusia 14 bulan dilaporkan menerima sebahagian hati daripada pendermanya, Wan Mohd Hafizam.

-NAZ

Tinggalkan komen anda