Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Malaysia terus merekodkan penurunan kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan mencatatkan 2,176 kes.
Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga kes baharu kurang daripada angka 3,000 dalam bulan ini dengan 2,464 kes baharu dilaporkan pada Ahad manakala 2,764 kes dicatatkan pada 9 Feb.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes di seluruh negara setakat ini adalah 266,445 kes dengan kes aktif sebanyak 47,135.
“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,175 kes merupakan penularan tempatan melibatkan1,618 warga tempatan dan 557 warga asing; manakala baki satu kes merupakan kes import melibatkan warga tempatan yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 semalam.
Beliau berkata 4,521 jumlah kes sembuh COVID-19 harian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh seluruh negara setakat ini 218,335 kes.
Bagaimanapun, beliau berkata 10 kes kematian akibat COVID-19 dilapor dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan sejumlah 975 orang meninggal dunia akibat pandemik berkenaan setakat ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 260 kes ditempatkan di unit rawatan rapi dengan 112 memerlukan bantuan pernafasan.
–BERNAMA