
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Abd Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah membenarkan semua premis makanan untuk beroperasi secara makan di restoran susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan pada 11 Januari lalu.
Tinjauan di sekitar pekan Kuala Klawang mendapati, masih ada premis makanan yang mengamalkan konsep bungkus dan bawa balik.
Penguasaha kopitiam di sini Chok Liang Kok, 49, berkata beliau masih mengekalkan konsep bawa pulang buat masa ini kerana bimbang dengan penularan COVID-19 sepanjang PKP ini.
“Peningkatan kes baharu yang mendadak amat membimbangkan, walaupun Jelebu merupakan zon hijau, tetapi kenaikan kes baharu yang mendadak membuatkan saya memilih untuk mengekalkan konsep bungkus dan bawa pulang ini sehingga sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang pelanggan, Mohd Rohaizal Abd Rahman, 45, berkata beliau menyokong tindakan para peniaga yang tidak terburu-buru untuk membenarkan pelanggan makan di dalam kedai.
“Tindakan pengusaha perniagaan ini adalah sangat baik berikutan ada kemungkinan boleh berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) memandangkan setiap hari kedai ini mempunyai ramai pelanggan tetap.
“Pengusaha kedai makan atau restoran yang mula beroperasi secara makan di restoran perlu menjaga SOP yang ketat kerana peningkatan jangkitan COVID-19 dan pertambahan kluster baharu berada diluar jangkaan,” katanya.
Pematuhan SOP di kedai makan tetap diutamakan apabila pelanggan yang membungkus makanan perlu mengimbas suhu badan, memakai pelitup muka serta mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.
-AK