Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Resort Lima Bintang Jual Nasi Bajet RM3

By 9 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot /Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Kehilangan pendapatan dan mengalami kerugian besar kesan daripada pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong Duyong Marina & Resort (DMR) mengambil inisiatif membuka gerai hidangan nasi bajet berharga RM3 di tepi jalan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud, di sini.

Penyelia Bahagian Makanan dan Minuman DMR, Rohaizan Ghazali berkata, idea menjual nasi bajet berkenaan kepada orang ramai bermula apabila pihak pengurusan mahu memastikan kakitangan dapat menjana pendapatan dengan lebih proaktif.

“Ketika ini pihak pengurusan resort sentiasa memikirkan pelbagai alternatif terbaik bagi memastikan pengurusan resort dapat menjana pendapatan secara konsisten dan tidak hanya mengharapkan sumber pendapatan teras yang sedia ada,” katanya ketika ditemuramah di sini, semalam.

Penyelia Bahagian Makanan dan Minuman DMR, Rohaizan Ghazali cekap mengendalikan urusan jual beli kepada para pelanggan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Penyelia Bahagian Makanan dan Minuman DMR, Rohaizan Ghazali cekap mengendalikan urusan jual beli kepada para pelanggan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Semua kakitangan berganding bahu dan memberikan sokongan penuh dengan memberikan penambahan idea-idea yang bernas bagi mencari peluang dan ruang untuk menjana pendapatan resort seterusnya dapat menjamin pekerja daripada kehilangan pekerjaan ketika pandemik ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sehingga kini DMR mempunyai seramai 156 kakitangan daripada pelbagai bahagian dan idea menjual nasi bajet RM3 jelas membuktikan bahawa pihak majikan serius memastikan DMR mampu bertahan menghadapi situasi ekonomi penuh mencabar kesan akibat pandemik COVID-19.

“Kami akan beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 3 petang di tepi Jambatan Sultan Mahmud dengan menawarkan pelbagai menu menarik seperti ayam goreng berempah, gulai ayam, gulai lemak ikan masin nenas, sambal ikan tenggiri limau, sambal telur, sayur goreng dan sebagainya.

“Menu yang disediakan sentiasa bertukar setiap hari dan pelanggan juga boleh membeli secara atas talian dengan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan selain datang sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, sepanjang PKP ini, DMR juga mengamalkan konsep infak kepada golongan yang memerlukan iaitu para pelanggan boleh membayar terus kepada kami jumlah pesanan yang dipohon untuk dihantar ke tempat yang diinfakkan seperti hospital, balai polis, lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR), rumah anak-anak yatim dan sebagainya.

Sementara itu, pelanggan nasi bajet berkenaan, Asma Dalila Hamzah, 23, berkata beliau berminat untuk membeli nasi bajet di situ apabila berasa tertarik untuk mencuba buat kali pertama.

“Saya berasa tertarik mahu membeli dan mencuba menu yang disediakan kerana seperti yang sedia maklum sekiranya menu yang disediakan oleh resort-resort terkenal pastinya mahal tetapi berbeza dgn DMR yang menyediakan harga yang sangat murah terhadap para pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Asma Dalila Hamzah, 23, mahu mencuba keenakkan nasi bajet DMR.

Asma Dalila Hamzah, 23, mahu mencuba keenakkan nasi bajet DMR.

Pelanggan lain, Mohd Azlan bin Yusuf, 60, berkata sebelum pandemik ini berlaku, beliau dan keluarga kerap kali mengunjungi café milik DMR dan telah mencuba pelbagai menu masakan yang sangat menyelerakan.

“Apabila DMR membuat jualan makanan seperti ini, ia memudahkan para pelanggan yang menginginkan masakan mereka yang bertaraf lima bintang.

Menu yang disediakan sama seperti sebelum ini meskipun harga yang dikenakan sangat murah,” katanya.

Mohd Azlan Yusuf, 60, tetap setia menjadi pelanggan DMR sejak dahulu lagi kerana kualiti yang diberikan adalah terbaik.

Mohd Azlan Yusuf, 60, tetap setia menjadi pelanggan DMR sejak dahulu lagi kerana kualiti yang diberikan adalah terbaik.

Sementara itu, menurut Rohaizan, melalui promosi yang dilaksanakan ketika ini para pelanggan hanya perlu membayar menu untuk lauk-pauk sahaja sementara nasi diberikan secara percuma.

Bukan itu sahaja, katanya pihak DMR juga membuat promosi untuk penginapan bilik sehingga 18 Februari iaitu pakej harga serendah RM280 untuk tiga hari dua malam dan beli satu pakej percuma satu pakej.

-ii-

Tinggalkan komen anda