Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

RM20 Juta Diperuntukkan untuk Pembangunan Program Siswapreneur

By 25 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Hafizul Adzhari (Alor Gajah)

MASJID TANAH, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperuntukkan sejumlah RM20 juta menerusi pembangunan program Siswapreneur di mana empat institut pengajian tinggi dan 11 kolej komuniti dan politeknik seluruh negara telah dipilih untuk menjadi perintis kepada program ini melalui kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata seramai 20 ribu orang pelajar universiti, politeknik dan kolej komuniti akan menerima pembiayaan mikro kredit sebanyak RM1 ribu hingga RM5 ribu untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dalam kampus.

“Program ini bertujuan untuk memperkenalkan dunia keusahawanan kepada para pelajar dan seterusnya mengubah minda para pelajar untuk tidak lagi mencari pekerjaan makan gaji setelah tamat pengajian dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

“Antara cabaran yang dihadapi adalah banyak ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anak mereka menyertai program ini atas alasan akan hilang fokus pada pelajaran dan khuatir dengan pembayaran semula pembiayaan tersebut,” ujar beliau ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Tablet kepada pelajar parlimen Masjid Tanah di perkarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah, di sini baru-baru ini.

Beliau berharap melalui agensi pelaksana iaitu TEKUN Malaysia, akan lebih ramai pelajar menyertai program ini dan memanfaatkan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan.

~RJ~

Tinggalkan komen anda