
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Irwan Shah (Johor)
PASIR GUDANG, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Sukarelawan Pertubuhan Ihsan Johor berperanan membantu dalam menyediakan keperluan para pesakit dan petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MPPG).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor Farrah Faridah Baptist, pertubuhan ini adalah inisiatif terbaharu Bangsa Johor dengan Muafakat Johor untuk membudayakan aktiviti kemanusiaan, semangat kesukarelawan dan kebajikan sebagai usaha kerajaan negeri untuk membantu masyarakat khususnya di sini.
“Kami mula terlibat dalam tugasan sukarelawan membantu hal ehwal urusan pesakit dan petugas semasa gelombang kedua COVID-19 melanda negara.
“Bermula dari situ, Pertubuhan Ihsan Johor terus bersemangat dan aktif menjalankan aktiviti sukarelawan semasa pandemik COVID-19 termasuk di PKRC Semporna Sabah,” katanya ketika ditemui di PKRC Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini semalam.
Tambah beliau, Ihsan Johor selalu turun padang untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini dengan melaksanakan aktiviti seperti senam robik.

Pertubuhan Ihsan Johor menerima penapis udara sumbangan dari sektor korporat untuk kegunaan para petugas di PKRC Pasir Gudang.
“Kami mengadakan aktiviti senam robik di PKRC Pasir Gudang dengan tujuan untuk mengurangkan tekanan emosi dan rohani para pesakit dan petugas di sini.
“Susulan kejayaan yang dicapai di PKRC Semporna, aktiviti ini diteruskan atas permintaan para pesakit,” ujarnya.
Farah memaklumkan bahawa pertubuhan ini juga turut menguruskan sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat dan individu mewakili Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti makanan ringan, keperluan harian, sejadah, penyangkut baju, penapis udara, mesin penapis air dan peti sejuk.
“Pada hari ini, kami telah menerima sumbangan makanan ringan seperti roti dan minuman segera,” katanya.
Beliau menyeru, sekiranya terdapat mana-mana individu, agensi swasta atau pertubuhan yang ingin membuat sumbangan boleh menghubungi Ihsan Johor di talian 012-2538091 untuk makluman lanjut.
“Jika ada jurulatih senam robik yang ingin menyertai aktiviti di bawah Ihsan Johor juga boleh menghubungi kami untuk perbincangan lanjut,” katanya lagi.
-NI