Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Peniaga di kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dusun Panti teruja apabila hentian tersebut menjadi tempat singgah wajib bagi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar apabila menggunakan laluan tersebut.
Menurut Pengurus R&R Dusun Panti Norfaezah Md Borham, 34, beliau yang baharu sahaja menjalankan perniagaan di kawasan tersebut tahun lalu, tidak pernah menyangka Sultan Ibrahim akan singgah berehat dan menjamu selera di sini.
“Kami amat berbesar hati atas kesudian Tuanku berkunjung ke kedai kami, baginda juga sering memuji keenakan lontong kami yang merupakan makanan kegemarannya,” katanya ketika ditemui di R&R tersebut, di sini kelmarin.
Norfaezah turut memaklumkan agak gugup ketika bertemu dengan Sultan Johor namun ia dapat diatasi kerana baginda seorang yang mesra dan mudah didekati.
“Memang gugup nak bercakap dengan Tuanku, namun kemesraannya menyebabkan perasaan gugup itu hilang.
“Ketika kunjungan baginda kali ketiga ke sini, baginda turut berkenan untuk menandatangani potret gambar kunjungannya ke kedai kami sebelum ini,” ujarnya lagi.
R&R Dusun Panti yang terletak di Kilometer 30 Jalan Kota Tinggi-Mersing tular di laman media sosial kerana sering menjadi tempat persinggahan Sultan Johor untuk berehat dan menjamu selera jika baginda ke Mersing.
Zamharris Buang, 35, pula tidak menyangka menu masakan yang terdapat di kedainya menepati cita rasa Tuanku dan pada waktu kunjungan itu baginda turut mengilhamkan nama baharu untuk R&R ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini.
“Sewaktu kali kedua tuanku singgah ke sini, Baginda turut mencadangkan nama Mid Way R&R Dusun Panti sebagai nama baharu untuk kedai ini namun papan tanda baharu itu tidak dapat dinaikkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Nama ini diilhamkan dari sebuah kawasan rehat dan rawat di negara India sewaktu Baginda berkunjung ke sana bagi melawat anakandanya suatu ketika dahulu,” katanya.
Ketika ditanya berkenaan impak PKP yang sedang dilaksanakan terhadap perniagaannya, beliau mengakui agak terkesan dengan prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan para pengunjung makan di kedai bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Sebelum ini, jumlah pengunjung merosot kerana mereka tidak boleh makan di kedai hanya boleh bungkus sahaja dan tambahan lagi, perniagaan kami memang bergantung sepenuhnya kepada pengguna jalan raya Kota Tinggi-Mersing,”
“Kini kerajaan telah membenarkan makan di kedai dengan dengan SOP yang ketat iaitu terhad kepada dua pelanggan untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter di restoran serta pemilik restoran perlu merekodkan butiran pelanggan,” ujar Zamharris.
Beliau berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan yang mendengar keluhan dan cadangan para peniaga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.
“Keputusan kerajaan membenarkan kami berniaga semula amat membantu para peniaga yang terjejas meneruskan kelangsungan hidup dan menambah pendapatan,” katanya.