Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli berangkat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melihat kesiapsiagaan kelengkapan dan fasiliti PPV di stadium ini dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, dalam sidang media selepas lawatan itu merakamkan setinggi penghargaan atas komitmen penuh daripada agensi negeri dan Persekutuan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia.
“Semoga komitmen ini dapat diteruskan bagi menjayakan PPV di seluruh negeri ini.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19,” katanya yang ditemui di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Menurut rekod, seramai 34,743 petugas barisan hadapan di negeri ini bakal menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama bermula 1 Mac depan.
-SH