Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 yang direkodkan semalam meningkat sedikit kepada 1,745 kes berbanding 1,555 semalam, dengan tujuh lagi kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 1,743 kes merupakan penularan tempatan manakala dua kes import menjadikan jumlah kumulatif kini menjangkau 305,880 kes.
Beliau berkata kes sembuh yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas pula ialah sebanyak 2,276 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh ialah 280,707.
Selangor kekal mencatat kes baharu tertinggi iaitu 640 diikuti Johor (376) dan Sarawak dengan 139 kes.
Sebanyak 47 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas (20 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13 kes), Kluster Damai Pelangi (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes).
— BERNAMA