Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Individu Potong Barisan Suntik Vaksin boleh Didenda RM50,000, Penjara Enam Bulan

By 4 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Individu yang “memotong barisan” untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 31 yang merupakan peruntukan baharu di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 yang akan berkuat kuasa 11 Mac ini.

“Seksyen 31 itu menjadi punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988  (Akta 342) bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini semalam.

Dr Adham berkata buat masa ini, tiada laporan diterima oleh KKM berhubung isu potong barisan dalam penerimaan suntikan vaksin COVID-19.

Isnin lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelakkan isu “potong barisan” untuk program vaksinasi COVID-19.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata keputusan itu dibuat pada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan dokumen garis panduan berkenaan  memperincikan  mengenai petugas barisan hadapan.

Katanya beliau dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba telah menandatangani dokumen garis panduan itu yang akan dimuat naik di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjelaskan takrifan barisan hadapan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda