Laporan/foto: Siti Nor Asikin Haria (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 18 orang anak-anak yatim di sini menerima sumbangan persekolahan berupa wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang, pakaian persekolahan, makanan kering dan hamper.
Pegawai Daerah Bandar Baharu Mohamad Subhi Abdullah, berkata usaha murni dan khidmat bakti yang dianjurkan oleh Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) ini dapat dicontohi oleh pihak-pihak lain dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Kesemua pelajar ini terdiri daripada lima pelajar sekolah menengah dan 13 pelajar sekolah rendah Daerah Bandar Baharu meliputi penduduk dari enam mukim iaitu Mukim Bagan Samak, Mukim Relau, Mukim Serdang, Mukim Sungai Kechil Ilir, Mukim Selama dan Mukim Sungai Batu,” katanya yang ditemui sempena majlis serahan sumbangan di Majlis Daerah Bandar Baharu, di sini baru-baru ini.
Menurut penerima bantuan Nur Ain Maisarah Md Din, 12, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Batu berbesar hati menerima bantuan kali ini yang disampaikan sendiri oleh penaung YAYSH, Che Puan Besar Kedah Datuk Seri Utama Haminah Hamidun.
“Saya berasa sangat teruja dan seronok kerana berpeluang dapat bertemu dengan Che Puan Besar dan menerima sumbangan ini kerana baginda seorang yang baik hati,” kata anak bongsu lima beradik yang kehilangan ibu pada usia lima tahun dan kehilangan ayah ketika berusia tiga tahun ini.
Berkongsi nada yang sama, Muhamad Hazarul Aswat Azizan, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Selama ini gembira menerima bantuan namun pada masa sama turut gementar untuk bertemu Che Puan Besar.
“Saya berasa agak gementar apabila mendapat undangan menghadiri majlis pengurniaan ini dan sangat gembira menerima bantuan persekolahan ini,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Che Puan Besar sempat beramah-mesra bersama anak-anak yatim dan memberi nasihat kepada para penerima sumbangan supaya belajar dengan bersungguh-sungguh dan beroleh kejayaan dalam pelajaran.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah Datuk Rosli Awang.
-RJ