
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/IPD Gombak
GOMBAK,1 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 28 individu dan dua pemilik gelanggang futsal dikenakan tindakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima aduan orang awam bahawa terdapat sekumpulan individu bermain futsal tanpa mematuhi SOP.
“Bertindak atas aduan itu, pasukan Taskforce Pemantauan Pematuhan PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan.
“Terdapat 28 orang yang berumur 19 hingga 23 tahun gagal mematuhi SOP iaitu penjarakan fizikal serta akitiviti yang masih tidak dibenarkan dalam sektor sukan dan rekreasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, tindakan kompaun telah diambil terhadap 28 pemain dan dua pemilik yang didapati tidak patuh SOP.
Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan gambar sekumpulan individu yang sedang bermain futsal di sebuah premis diserbu anggota polis akibat melanggar SOP.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang membabitkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.
Menurutnya, penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial melibatkan pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, pingpong, takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan.