Laporan/foto: Hamidah Md Drus/ Razali Kamarudin (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Suasana ceria jelas terpancar tatkala para guru dan pihak pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Pilah menerima kehadiran para pelajar Prasekolah dan Tahun Satu.
Para ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah mengambil langkah bersama dalam melancarkan proses kehadiran dan pendaftaran para pelajar.
Bagi murid-murid prasekolah dan murid Tahun Satu yang masih belum pernah menjejakkan kaki ke sekolah, ini pasti satu pengalaman baru yang ditunggu setelah sekian lama.
Pelbagai perkara perlu diambil kira dengan amalan Pembudayaan Norma Baharu terutamanya dalam mematuhi SOP kesihatan dan menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) Kuala Pilah, K. Subramaniam saringan suhu badan dilakukan di pintu masuk sebelum para pelajar memasuki kawasan sekolah.
‘’Seramai 18 orang murid Tahun Satu, 24 orang murid Tahun Dua dan 18 orang murid Prasekolah memulakan sesi persekolahan pada hari ini dan mereka diminta untuk memakai pelitup muka serta penjarakan sosial satu meter di dalam kelas diterapkan dalam kalangan pelajar.
‘’Pihak sekolah sentiasa mengambil berat aspek keselematan dan kesihatan pelajar dan jika ada pelajar yang tidak sihat dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah dan terus ke klinik,’’ujarnya ketika ditemui di sekolah pagi tadi.
Dalam pada itu, Guru Kelas Tahun Satu sekolah berkenaan, Karpagam Nagapan memberitahu para pelajar telah pun memulakan pembelajaran di rumah (PdPR) sebelum ini dan mereka telah didedahkan dengan sistem pembelajaran sedia ada. Diharap para pelajar terus menunjukkan keazaman dan semangat yang sama agar dapat memenuhi sasaran yang telah ditetapkan.
‘’Murid-murid nampak sangat gembira untuk mula belajar di sekolah pada hari ini kerana pembelajaran secara bersemuka tidak sama dengan belajar secara dalam talian dan jika di sekolah mereka boleh bergaul mesra dengan rakan-rakan, akan tetapi norma baharu sentiasa diingatkan kepada mereka seperti sentiasa memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan,’’ katanya.
Tidak ketinggalan juga, Guru Besar merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Penerangan Malaysia yang telah berjaya mencungkil bakat pelajar iaitu Sainatra Ravi yang menjadi Johan Pertandingan Ceritaku@merdekan9 2020.
-FF