Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Ketua Kampung Diseru Laksanakan Tugas Secara Profesional

By 1 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi (Mersing)

MERSING, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 26 orang telah menerima surat lantikan dan mengangkat sumpah penerimaan jawatan sebagai Ketua Kampung Daerah Mersing dihadapan Pegawai Daerah Mersing di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Menurut Pegawai Daerah Mersing Mohd Radzi Mohd Amin, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan pentadbiran ketua kampung agar kesejahteraan penduduk terbela dan tidak ketinggalan daripada pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Saya berharap semua Ketua Kampung di daerah ini dapat menjalankan tugas secara profesional tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama dan bangsa penduduk kawasan di bawah pentadbiran.

“Perkara yang perlu diutamakan adalah melibatkan pembangunan infrastruktur di dalam kawasan kampung dan mengenal pasti keperluan yang sewajarnya agar manfaat itu dapat dinikmati oleh setiap penduduk,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perlantikan Ketua Kampung dan Penyerahan Surat Lantikan Ketua Kampung Daerah Mersing 2021–2022, di sini hari ini.

Ketua Kampung Air Merah Sadri Yusuf yang ditemui berkata beliau merasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pentadbiran Pejabat Daerah Mersing yang memberi ruang dan peluang untuk menyumbang bakti dalam membantu memacu pembangunan di peringkat kampung.

Pada majlis itu, dua wanita antara yang telah mengangkat sumpah pelantikan sebagai Ketua Kampung yang  berkuatkuasa bermula 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2022.

Setakat ini, hanya tinggal satu jawatan Ketua Kampung yang belum diisi iaitu di Kampung Air Tawar Endau dan surat tawaran permohonan untuk mengisi jawatan ini akan diiklankan dalam masa terdekat.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda