
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Sesi pendaftaran 615 pelajar baharu Politeknik Port Dickson (PPD) secara serah tinggal tetap berjalan dengan lancar dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
Pengarah Politeknik Port Dickson Mohamad Isa Azhari, berkata kesemua pelajar akan menjalani Minggu Transformasi Siswa (MTS) bermula minggu ini yang merupakan sebuah program berbentuk induksi atau orientasi kepada siswa baharu.
“Pelaksanaan MTS pada kali ini mengamalkan norma baharu seiring dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan berharap melalui program MTS yang dirancang secara norma baharu ini ianya dapat memberikan kesan positif serta menjadi wadah informasi buat para pelajar.
“Sesi pendaftaran yang berlangsung selama dua hari melibatkan empat jabatan iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan empat lokasi disediakan yang melibatkan kawasan padang futsal PPD, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Islam dan Kolej Kediaman Si Rusa (KKSR),” katanya ketika meninjau proses pendaftaran pelajar baharu di perkarangan Politeknik Port Dickson, di sini semalam.
Tambahnya, diharapkan semangat, keyakinan dan jati diri para pelajar akan dapat dibentuk dengan adanya program seumpama ini.
“Gunakanlah peluang sekali seumur hidup ini untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan yang boleh untuk membantu anda menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara,” ujarnya lagi.
Pihak PPD turut menyediakan tatacara pendaftaran yang lengkap bagi panduan dan rujukan pelajar ketika proses pendaftaran.
-FF